Home Semasa Bomba hantar lebih 23 tan bekalan makanan ke kampung Orang Asli

Bomba hantar lebih 23 tan bekalan makanan ke kampung Orang Asli

by Muaz Rizqi

GUA MUSANG, 30 Dis – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menghantar sebanyak 23.399 tan metrik bantuan bekalan makanan ke 6 buah penempatan Orang Asli di Gua Musang yang terputus jalan perhubungan darat sejak Ahad lepas.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, bantuan berkenaan tersebut dihantar dengan menggunakan pesawat helikopter jenis Agusta Westland 139 (AW139) dan Agusta 109E (A109E).

Beliau berkata, antara kawasan yang menerima bantuan ialah Pos Lalok, Pos Sau, Pos Bihai, Pos Hau, Pos Tendrik, Pos Sempadik, Pos Belatim, Pos Gob, Pos Simpor dan Pos Balar.

Menurutnya, bantuan yang dihantar meliputi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak dan makanan dalam tin.

“Operasi penghantaran turut dibantu JBPM Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),

“Misi penghantaran bekalan makanan telah berjalan dengan lancar dan berjaya diselesaikan sepenuhnya berikutan cuaca baik,” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Penempatan Orang Asli di kawasan itu terputus hubungan berikutan laluan keluar masuk ke bandar berdekatan rosak akibat hujan berterusan sejak seminggu lalu.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply