Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Jangan ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK masjid – Muhyiddin

Jangan ambil tindakan terhadap pendakwah, AJK masjid – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin memohon agar pihak berwajib tidak mengambil tindakan terhadap pendakwah dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid yang berlainan fahaman politik.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah secara ketat sehingga menafikan orang Islam menimba ilmu di tempat perhimpunan orang Islam.

Menurutnya, pengurusan masjid yang memilih AJK secara demokratik oleh ahli kariah juga tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat,

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang dipilih oleh ahli kariah,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook rasmi beliau pada Isnin.

Muhyiddin berkata, beliau mengetahui ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Ada juga pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),

“Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, selepas pilihan raya selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” ujarnya lagi. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply