KUALA LUMPUR, 22 Dis – Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) telah menerima 40 buah motosikal penguatkuasa model BMW R1250RT secara sewaan bagi meningkatkan tahap mobiliti dan keberkesanan perkhidmatan penugasan anggota pengiring bermotosikal dalam melaksanakan tugas harian di pasukan.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT), Setapak, hari ini.
Zamrose ketika berucap pada majlis tersebut menjelaskan, majlis perasmian motosikal penguat kuasa KPTD ini diadakan sebagai manifestasi kepada usaha berterusan yang dilaksanakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi membantu mempertingkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan KPTD.
“TDM amat memahami kekangan yang dihadapi oleh KPTD khususnya dalam aspek mobiliti ketika melaksanakan tugas-tugas kepolisan yang semakin mencabar,
“Justeru, bagi membantu KPTD melaksanakan tugas kepolisan dengan berkesan, TDM telah meluluskan perolehan 40 buah motosikal penguat kuasa secara sewaan daripada syarikat Ammo Defence Sdn Bhd untuk tempoh selama 5 tahun,
“Dengan amalan tadbir urus yang mampan, perolehan aset ini mampu membentuk KPTD sebagai sebuah organisasi penguat kuasa yang sentiasa relevan, unggul, disegani dan dihormati,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengarahkan Pejabat Provos Marsyal Tentera Darat mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai panduan dan ketetapan tata cara penggunaannya bagi memastikan motosikal penguatkuasa ini tidak disalahgunakan.
“Saya juga ingin mengingatkan semua pemerintah KPTD agar merangka rancangan penggunaan motosikal penguatkuasa secara optimum dan melaksanakan pemantauan secara konsisten berpandukan kepada SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya lagi.
Menurutnya, model BMW R1250RT adalah motosikal dari kelas sport touring yang menawarkan kuasa kelajuan dan keselesaaan serta ciri-ciri keselamatan bagi tunggangan jarak jauh.
Tambahnya, perkhidmatan sewaan ini juga mampu memberi jaminan serviceability pada tahap yang optimum sepanjang masa.
“Saya melihat peningkatan terhadap perolehan motosikal ini mampu memberikan impak yang sangat positif terutamanya kepada KPTD,
“Saya juga yakin ianya akan menjadi pemangkin kepada pemodenan KPTD sebagai sebuah pasukan penguatkuasa dan perkembangan ini juga akan meningkatkan keupayaan aset TDM amnya dan KPTD khasnya,” katanya.
Awal tahun lalu, KPTD juga telah menerima 10 buah motosikal penguatkuasa jenis Honda ST 1,300cc dalam merealisasikan penugasan tugas anggota kepolisan TDM. -airtimes.my