Home Semasa 4 lagi mayat ditemui bergulung dengan khemah

4 lagi mayat ditemui bergulung dengan khemah

by Nurulhuda

BATANG KALI, 21 Dis – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR), operasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya telah menemui 4 lagi mangsa dalam keadaan bergulung dengan satu kanvas khemah pada 11.04 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, keempat-empat mayat itu terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan.

“Kesemua mayat berkenaan ditemukan dalam satu khemah yang sama di Sektor C pada kedalaman 7 meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput,

“Buat masa ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. Jadi, polis tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua mayat ini merupakan anggota keluarga atau tidak,” katanya pada sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di Batang Kali, hari ini.

Menurutnya, kesemua mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Operasi SAR di lokasi tragedi tanah runtuh tersebut memasuki hari ketujuh hari ini. Operasi itu disambung semula pagi tadi selepas ditangguhkan pada 10 malam, semalam.

Seramai 94 orang terjejas akibat tanah runtuh di tapak perkhemahan tersebut yang berlaku awal Jumaat lalu. Daripada jumlah itu, 61 berjaya diselamatkan.

Pasukan penyelamat meneruskan misi mencari 3 lagi mangsa masih belum ditemui setakat ini.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply