GONG KEDAK, 20 Dis – Seorang warga emas yang menghidap sakit jantung dan seorang bayi lelaki diterbangkan dengan menggunakan helikopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Gong Kedak ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu, pada Isnin.
TUDM menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, pesakit, Wan Ahmad Mohd Noor, 75 tahun dan seorang bayi perlu mendapatkan rawatan segera di hospital selepas beberapa jalan utama di Pantai Timur Semenanjung di tutup akibat banjir.
“Pesawat telah berlepas pada jam 2.03 petang dari PU Gong Kedak dan selamat mendarat pada jam 2.27 petang,
“Berikutan keadaan cuaca di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang kini mengalami musim hujan dan beberapa jalan yang telah dinaiki air di kawasan sekitar menyebabkan bantuan penghantaran udara diperlukan bagi membawa pesakit,” jelas hantaran itu.
Penerbangan ini telah dikendalikan oleh Mejar Wan Muhammad Haqimi Wan Zin TUDM selaku Juruterbang, Pembantu Juruterbang Kapten Mohd Zafri Zaini TUDM dan Kuartermaster Udara Sarjan U Ammar Ahmad Hasan Shamsuri. -airtimes.my