BAYAN LEPAS, 14 Dis – Bersempena cuti akhir tahun sesi persekolahan penggal ketiga, Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) telah melaksanakan Program Khatan Perdana ‘Anak-Anak Cemerlang Dunia Akhirat 1443H’ pada Sabtu lalu.
Majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas (SKBL), Pulau Pinang itu telah melibatkan seramai 145 peserta terdiri daripada anak-anak kariah Masjid Alhidayah Bayan Lepas dan anak-anak anggota tentera yang berkhidmat di bawah naungan 2 Div.
Menurut Markas 2 Div, majlis ini diadakan dengan kerjasama Badan Dakwah Kebajikan Masjid Alhidayah Bayan Lepas dan Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas.
Seramai 35 anggota perubatan tentera dari 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut dan B Kompeni 2 Batalion Ubat telah terlibat dalam memberikan perkhidmatan mudim bagi program tersebut.
Majlis telah disempurnakan oleh Ketua Staf Markas 2 Div, Kolonel Samad Igom.
Beliau berkata, pelaksanaan program ini adalah bertujuan untuk membantu anggota tentera dan masyarakat setempat di sekitar daerah ini bagi pengurusan berkhatan anak-anak mereka.
“Selain itu, objektif program ini juga adalah untuk mengeratkan hubungan di antara warga tentera dan masyarakat setempat dengan menyumbangkan bantuan tenaga serta kepakaran dalam apa jua bentuk aktiviti kemasyarakatan,” jelasnya.
Turut hadir, Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan 2 Div, Kol (Dr) Meor Adzhary Sagiruddin; Pengerusi Khairiah Masjid Alhidayah Bayan Lepas, Ahmad Mursyid Manso dan Setiausaha Badan Dakwah Masjid Alhidayah Bayan Lepas.-airtimes.m
Galeri gambar: