Home Politik BERSATU: 4 MP GRS tak perlu kosongkan kerusi, keluar parti Oktober lalu – Wan Junaidi

BERSATU: 4 MP GRS tak perlu kosongkan kerusi, keluar parti Oktober lalu – Wan Junaidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Dis – 4 Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak perlu mengosongkan kerusi yang disandang oleh mereka.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, 4 ahli Parlimen GRS itu telah keluar dari parti itu pada awal Oktober, sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Saya ingin menjelaskan bahawa 4 Ahli Parlimen (MP) tidak perlu mengosongkan kerusi mereka,

“Selepas dimaklumkan pelbagai sumber yang boleh dipercayai pagi ini dan tengah hari ini bahawa 4 ahli parti BERSATU ini sudah meletakkan jawatan dalam parti mereka pada awal Oktober lalu sebelum bertanding pilihan raya umum pada 19 November lalu,

“Jika itu situasinya, saya bersetuju dengan Peguam Perlembagaan, Datuk Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mana Akta antilompat parti tidak terkesan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Wan Junaidi dan Fuad, yang juga penasihat undang-undang kerajaan Sabah.

Beliau yang terbabit dalam penggubalan undang-undang larangan bertukar parti yang diluluskan Dewan Rakyat Julai lalu turut bersetuju bahawa keahlian 4 Ahli Parlimen itu dengan BERSATU berakhir pada awal Oktober, sebelum PRU berlangsung.

Oleh yang demikian mereka berkata, 4 wakil rakyat GRS itu tidak melanggar akta antilompat parti.

4 ahli parlimen GRS itu ialah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Pada Ahad lalu, Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor mengumumkan semua ahli Parlimen BERSATU Sabah kecuali Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) kelauar parti dengan serta merta.

Beliau turut menjelaskan, kesemua mereka akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu sebagai platform menggantikan BERSATU tetapi dalam masa masih menjadi ahli GRS serta berikrar menyokong kerajaan perpaduan dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply