Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Ronald Kiandee kini Ketua BERSATU Sabah

Ronald Kiandee kini Ketua BERSATU Sabah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai ketua BERSATU Sabah dan juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu.

Perkara itu diumukan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin selepas mantan Ketua BERSATU Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dan pengikutnya mengumumkan keluar parti, semalam.

Muhyiddin dalam kenyataan memaklumkan, Dr Ronald akan bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan BERSATU Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU serta Majlis Tertinggi (MT) PN.

“BERSATU Negeri Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun Hajiji Noor, dan pengikutnya mengumumkan keluar parti,

“Badan Pimpinan Negeri, Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan BERSATU di negeri Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU dan hanya MPT BERSATU yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya,

“Sehubungan itu, saya mengumumkan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Naib Presiden BERSATU dan Ahli Parlimen Beluran, dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah,” jelasnya.

Semalam, Hajiji dalam kenyataan memaklumkan pemimpin BERSATU Sabah termasuk wakil rakyat mengumumkan keluar dari parti itu.

Hajiji menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah dan mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menjelaskan, kedudukan 4 Ahli Parlimen BERSATU yang bertanding menggunakan logo GRS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berharap, ahli BERSATU Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam BERSATU yang merupakan parti komponen PN di peringkat Persekutuan.

“Saya kecewa dengan sikap mantan kepimpinan BERSATU Negeri Sabah yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu,

“Lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN,

“Saya percaya ahli-ahli BERSATU di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam BERSATU,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply