JITRA, 11 Dis – 4 orang pendatang tanpa izin (PATI) warga Thailand ditahan selepas cuba memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand, pada Sabtu.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dalam kenyataan berkata, kesemua PATI itu ditahan pada jam 9 pagi ketika merentasi sempadan di dalam Sektor Operasi (Op) Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.
“Pasukan operasi yang sedang melaksanakan rondaan mengesan pergerakan 4 orang awam yang mencurigakan, sedang menunggang 2 motosikal Honda Wave dengan nombor pendaftaran Thailand di kawasan hutan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand,
“Menyedari kehadiran pasukan berkenaan, 4 lelaki terbabit melarikan diri, bagaimanapun anggota mengejar dan berjaya menahan mereka selepas itu,
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua 4 lelaki berusia antara 18 hingga 36 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara melalui laluan haram,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, turut dirampas, 2 motosikal Honda Wave, sebuah telefon bimbit dan tablet dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM4,000.
Kesemua PATI yang ditahan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut. -airtimes.my