KUALA LUMPUR, 21 Nov – Bendahari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan, beliau kekal dengan pendiriannya untuk menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.
Dalam kenyataan ringkas di Facebooknya pagi ini, Hishammuddin turut menjelaskan sedia dipecat parti jika pendirian itu menjejaskan kedudukannya.
“Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi, tetap menolak kerjasama dengan PH. Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini,
“No Anwar, No DAP, pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” katanya.
Semalam, Hishamuddin dalam kenyataan menolak kerjasama antara gabungan itu dan PH.
Istana Negara telah mengarahkan pemimpin parti dan ketua gabungan untuk mencadangkan calon Perdana Menteri sebelum 2 petang ini.
Keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tiada satu pun parti memperoleh majoriti mudah menyebabkan kerajaan tergantung sehingga ke hari ini.