Home SemasaGlobal F-35A Korea Selatan bedil ‘pelancar peluru berpandu balistik Korea Utara’

F-35A Korea Selatan bedil ‘pelancar peluru berpandu balistik Korea Utara’

by M.Daim

SEOUL, 19 Nov – Jet pejuang stealth Korea Selatan, F-35A telah melaksanakan latihan menyerang pelancar peluru berpandu balistik Korea Utara dalam satu latihan ketenteraan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Joint Chiefs of Staff (JCS) Korea Selatan, semalam.

Menurutnya, latihan tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan keupayaan pasukan tentera negara itu untuk bertindak balas terhadap ancaman oleh Pyongyang.

“Sebanyak 4 buah F-35A telah melaksanakan penerbangan bersama 4 F-16 Tentera Udara Amerika Syarikat dalam satu formasi serangan gabungan dalam satu latihan di Laut Timur,

“Kedua-dua negara bersekutu telah mempamerkan keazaman yang tinggi untuk bertindak balas terhadap mana-mana ancaman dan provokasi,

“Ini termasuk ancaman peluru berpandu antara benua (ICBM) Korea Utara,” kata JCS yang petik oleh media Korea Selatan.

Menurutnya, tentera Korea Selatan bersedia untuk bertindak balas terhadap mana-mana ancaman dengan melancarkan serangan dengan cepat dan tepat.

Latihan tersebut dilaksanakan beberapa jam Korea Utara melancarkan ICBM Hwasong-17 ke arah Laut Timur.

Tahun 2022 menyaksikan kekerapan ujian penembakan sistem persenjataan strategik Korea Utara pada kadar yang tinggi.

Semalam. JCS Korea Selatan melaporkan sebuah ICBM dilancarkan dari Pyongyang pada 10.15 pagi waktu tempatan (9.15 pagi waktu Malaysia).

Penembakan ICBM oleh negara utara Semenanjung Korea itu telah dikesan dan dijejak oleh Seoul dan Tokyo.

Pihak Pengawal Pantai Jepun menyatakan misil tersebut telah jatuh di kawasan perairan barat Pulau Oshima, utara Jepun.

Menteri Pertahanan Jepun, Yasukazu Hamada menyatakan Korea Utara mempunyai potensi dan berupaya untuk menyerang mana-mana lokasi di Amerika Syarikat dengan berdasarkan analisis oleh pihak Tokyo.

Tahun 2022 menyaksikan peningkatan rekod ketara penembakan pelbagai jenis misil oleh Pyongyang.

Center for Strategic & Internasional Studies menganggarkan sebanyak 23 jenis misil telah dilancarkan sehingga 2 November lalu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?