Home Politik PRU15: 70 tokoh ilmuwan sokong Anwar jadi PM

PRU15: 70 tokoh ilmuwan sokong Anwar jadi PM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Kumpulan yang terdiri dari 70 ilmuwan Profesor Melayu yang menggelarkan diri mereka G70 menyokong Presiden PKR, Datuk Sri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jurucakap Deklarasi Profesor Melayu G70, Profesor Datuk Dr Ir Wan Ramli Wan Daud berkata, Anwar adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk.

“Kami berpendirian bahawa Anwar adalah satu-satunya tokoh dengan kewibawaan dan pengalaman serta integriti yang mampu memimpin masyarakat majmuk dengan berteraskan Islam sebagai agama persekutuan, serta memulihkan reputasi negara di mata dunia,

“Bersama pasukannya Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan pilihan terbaik untuk membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi masa kini kepada kesejahteraan rakyat pada masa hadapan, dan dalam masa yang sama menjamin keutuhan agama Islam serta kepentingan Melayu dan peribumi.” katanya dalam sidang media Deklarasi Profesor Melayu G70, hari ini.

Dalam masa yang sama, kumpulan itu juga menyeru rakyat Malaysia agar menyokong calon yang tekad mengembalikan maruah negara, membina semula keyakinan pelabur, mengukuhkan kedudukan mata wang dan membaik pulih ekonomi negara.

“Rakyat juga diseru memilih calon yang membina semula penghormatan dunia terhadap negara,

“Kami juga menggesa rakyat Malaysia menolak calon calon daripada pakatan politik yang didapati telah mengkhianati amanah demokrasi dan menyalahgunakan kedudukan politik sebagai medan memenuhi kepentingan diri dan kumpulan,

“Rakyat juga perlu menolak calon yang menggunakan fitnah bagi meraih sokongan pengundi dan mengekspoitasi sentimen agama serta kaum, dengan melaga-laga rakyat berbilang bangsa serta budaya demi kepentingan peribadi,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply