Home Politik Gangguan perkhidmatan LRT: CEO Rapid Rail mesti letak jawatan – Keadilan

Gangguan perkhidmatan LRT: CEO Rapid Rail mesti letak jawatan – Keadilan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Gangguan perkhidmatan LRT selama seminggu telah menyebabkan ratusan ribu rakyat biasa terkesan.

Perkara tersebut disampaikan oleh Pengarah Komunikasi Keadilan, Lee Chean Chung dalam satu sidang media, hari ini.

Menurut beliau, penggantungan perkhidmatan 16 stesen LRT di laluan Kelana Jaya merupakan satu gangguan yang paling serius dalam sejarah perkhidmatan pengangkutan awam tersebut.

“Isu tersebut mula dikesan pada tengah hari Sabtu dikatakan telah dapat diselesaikan pada awal pagi Ahad 6 November,

“Namun demikian, masalah yang sama telah berulang pada hari Isnin 7 November. Pergerakan puluhan ribu penumpang terjejas dan ramai yang terkandas di platform ataupun terpaksa menunggu bas yang lewat berjam-jam dan di bawah hujan,” katanya.

RapidRail sebelum ini dalam satu kenyataan menjelaskan gangguan perkhidmatan terbabit berpunca daripada Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) yang tidak stabil sehingga menyebabkan gerabak tidak dapat dioperasikan secara automatik.

Mengulas penjelasan tersebut, Lee yang juga Calon Pakatan Harapan Petaling Jaya menyatakan pihak pengendali tidak menceritakan punca sebenar peranti tersebut rosak.

“Penjelasan yang kosmetik tidak dapat bantu mengemukakan penyelesaian jangka masa panjang, sebaliknya dilihat cuba menutup kelemahan pengoperasian LRT,

“Ini bukan kali pertama LRT mengalami masalah teknikal,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menuntut CEO Rapid Rail perlu meletak jawatan bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kepenggunaan pengangkutan dan agensi awam.

“Saya menggesa supaya satu audit teknikal dijalankan oleh pihak luar untuk mengetahui punca gangguan perkhidmatan ini,

“Selain itu, Rapid Rail perlu didenda sekiranya kesilapan yang berlaku didapati boleh dicegah,” ujar beliau.

Terdahulu, RapidRail megumumkan perkhidmatan LRT dari stesen Ampang Park sehingga stesen Kelana Jaya digantung selama 7 hari. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?