KUALA LUMPUR, 1 Nov – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, Pakatan Harapan (PH) hanya mengulangi janji lama untuk menghapuskan tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau menerusi hantaran ringkas di laman Facebooknya menyifatkan, gabungan parti politik itu tidak serik-serik menjadikan isu menghapuskan tol sebagai ‘gula-gula’ dalam kempen pilihan raya mereka.
“Hebat!…..Janji terbaru PH datang lagi. Janji Lim Guan Eng, jika PH MENANG, TOL PLUS akan dihapuskan!.
“Nampaknya tidak serik-serik lagi PH mahu menabur janji baharu untuk rakyat sempena PRU15.
Siapa percaya angkat tangan,” jelasnya menerusi hantaran itu.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan berkata, pihaknya tidak terkejut dengan tindakan PH yang disifatkan mengulangi skrip dan penipuan sama digunakan semasa pilihan raya menjelang PRU15.
“Tak mustahil selepas ni mereka akan ulang janji hapuskan hutang PTPTN, hapus cukai itu, hapus cukai ini dan segala harapan palsu untuk perbodohkan rakyat.
“Rakyat dah serik 22 bulan kena tipu dengan PH, mereka sahaja yang masih tak serik-serik untuk menipu dan terus menipu. Jadi selepas ini jika ada dengar apa-apa lagi janji mereka, cukup lah sekadar dengar, tapi percaya jangan sekali,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan sekiranya PH diberi mandat membentuk kerajaan selepas PRU-15.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, PH ‘boleh memansuhkan tol’ di lebuh raya jika ia mendapat masa 5 tahun lagi menjadi kerajaan.
Menurut Guan Eng, PH telah mengurangkan bayaran tol PLUS sebanyak 18 peratus semasa gabungan itu memerintah selama 22 bulan.
Guan Eng berjanji perkara yang sama pada 2017, sebelum kemenangan PH pada 9 Mei 2018 menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Bagaimanapun, kerajaan PH digulingkan selepas hanya 22 bulan memerintah. -airtimes.my