LUMUT, 1 Nov – Seramai 503 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) peringkat negeri Perak, semalam.
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam hantaran di media sosialnya berkata, penganugerahan ini merupakan salah satu inisiatif dibawah strategi Pengiktirafan Jasa Pejuang dalam Pelan Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia 2021-2025.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany telah menyempurnakan penganugerahan PJM ini dalam satu majlis di Pangkalan TLDM Lumut.
“Penganugerahan PJM ini merupakan salah satu penghargaan kerajaan terhadap jasa dan bakti yang telah mereka curahkan terutamanya semasa tempoh darurat kedua,” katanya.
Dalam pada itu, Reza dalam ucapannya menyeru kepada semua veteran dan waris yang belum menerima PJM ini agar mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM bagi membolehkan penganugerahan dibuat dengan kadar segera.
Turut hadir Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Datuk Anuar Mohamed; Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Laksamana Muda Datuk Pahlawan Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy dan Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus. – airtimes.my