KUALA LUMPUR, 30 Okt – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau menikam belakang Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu.
“Saya tidak tikam sesiapa. Saya cuma mahu menyelamatkan negara,
“Tun Mahathir kata saya tikam beliau dari belakang. Jenuh saya memikirkan bila masa saya menikamnya,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menjelaskan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya yang memulakan gerakan membawa keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
Menurutnya, Dr Mahathir telah membuat pusingan U di saat akhir, apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuarat pada 21 Februari 2020 mengambil keputusan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
Jelasnya, usaha membawa keluar BERSATU itu digerakkan susulan tindakan beberapa pihak dalam PH yang mendesak Dr Mahathir agar berundur bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan.
“Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU kekal di dalam PH, tetapi MPT hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya,
“Keputusan ini dibuat kerana memikirkan BERSATU semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH, terutamanya DAP, yang dilihat gagal menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini,
“Dalam 2 pilihan raya kecil di Semenyih dan Tanjung Piai, calon BERSATU yang bertanding atas tiket PH kalah. Sokongan pengundi Melayu kepada BERSATU ketika itu merosot walaupun kedua-kedua kerusi itu dimenangi BERSATU dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” tambahnya.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan, pada pagi 24 Februari 2020, beliau ada menemui Dr Mahathir di kediamannya, namun tidak diberitahu mengenai niat Ahli Parlimen Langkawi itu meletak jawatan pada hari berkenaan.
“Hanya selepas pulang, saya menerima surat Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi BERSATU, Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan. Pada masa sama, surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri juga dihantar ke Istana Negara,
“Dr Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan kerana pada masa itu ada 138 Akuan Bersumpah (SD) Ahli Parlimen BERSATU, PKR, PAS, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawk (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan WARISAN yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri,
“Malah, saya adalah antara Ahli Parlimen yang menandatangani SD untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri. Maksudnya, walaupun BERSATU keluar PH, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak terjejas. Malangnya, Dr Mahathir meletak jawatan juga atas kerelaannya sendiri,” katanya.
Menurut Muhyiddin, peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU menyebabkan beliau terpaksa mempengerusikan mesyuarat khas MPT BERSATU, yang kemudian sebulat suara membuat keputusan mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, katanya, PAS dan Presiden UMNO mencadangkan supaya beliau menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri, namun ditolak pencalonan itu kerana keputusan parti ialah untuk menyokong Tun Mahathir.
“Ketika semua Ahli Parlimen dipanggil menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, saya telah menyatakan sokongan saya kepada Dr Mahathir,
“Malangnya, Dr Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen. Sebahagian besar Ahli Parlimen yang menandatangani SD menyokong beliau sebagai Perdana Menteri sebelum itu, telah menarik balik sokongan kepadanya,
“Oleh sebab itu, menurut Perlembagaan Persekutuan, beliau tidak boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri. Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim juga gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.
Tambah Muhyiddin, ketika itu negara berada dalam keadaan terumbang-ambing kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen yang lain untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Pada ketika itulah saya sekali lagi didatangi oleh rakan-rakan dalam parti PAS dan UMNO yang menyatakan sokongan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri,
“Menurut mereka, inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara daripada keadaan yang terumbang-ambing,
“Sebagai tanda hormat saya kepada Tun Mahathir, saya telah menemui beliau untuk meminta sokongannya. Beliau beritahu saya beliau sedia memberi sokongan kepada saya sebagai Perdana Menteri jika saya berjaya mendapatkan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen,
“Namun, Tun Mahathir membuat pusingan U sekali lagi apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk berlawan dengan saya,” tegas bekas Perdana Menteri itu.
Tegasnya, beliau tidak pernah menikam sesiapa dengan keputusannya dan menerima pencalonan menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir adalah demi menyelamatkan negara.
“Adakah saya menikamnya dari belakang? Adakah saya khianat?
“Saya buat ini demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara saya. Saya bukan pengkhianat,” jelasnya.
Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata sanggup melupakan ‘pengkhianatan’ Muhyiddin Yassin bagi membolehkan partinya dan Perikatan Nasional (PN) bekerjasama menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tun Mahathir menjelaskan, gabungan tersebut adalah untuk memastikan UMNO kalah dalam PRU15 akan datang dan perkara tersebut akan berlaku sekiranya parti pembangkang menjalinkan kerjasama, namun ditolak oleh Muhyiddin. -airtimes.my