[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=aeP8WaAqiBc[/embedyt]
IPOH, 21 Okt – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertanding di Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada Khamis.
“Saya tidak memilih kawasan mudah, yang menjamin majoriti besar. Saya ketua, saya mengepalai dan berani untuk merempuh serta tawan Tambun dalam PRU15 ini,
“Saya mahu rakan-rakan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melihat keyakinan kita. Saya bukan tawan kerusi kita yang mudah, tetapi saya mahu Perak bersama diangkat martabatnya,” katanya.
Menurutnya, Perak akan menjadi barisan hadapan perjuangan dalam PRU15 kali ini.
“Sebab itu saya akan berlabuh di Tambun. Mat Sabu sebut, titah Tuanku Sultan Perak berulang kali memperlihatkan ketegasan Tuanku yang sebenarnya bosan dengan sikap kerakusan dan gelojoh tokoh-tokoh politik,
“Malu kita kalau jadi tokoh politik yang disamakan dengan mereka. Saya nak beritahu dan persembah kepada Tuanku bahawa kami akan sama-sama bersihkan politik negeri Perak ini dari gelojoh yang begitu rupa,
“Perak mempunyai potensi sehebat Pulau Pinang atau Selangor, beri mandat kepada PH tawan kawasan-kawasan parlimennya dan mengangkat Perak sebagi gergasi ekonomi baru,” ujarnya.
Katanya, Perak juga punya potensi menjadi sehebat Pulau Pinang dan Selangor sebagai gergasi ekonomi negara selari dengan kehendak rakyat yang dahagakan kepimpinan punya dasar ekonomi yang jelas untuk menarik pelaburan.
“Saya akui sukar. Saya akui bukan medan biasa, tetapi saya datang dengan keyakinan untuk merampas Tambun dan Perak,” jelasnya. – airtimes.my