Home Pertahanan dan Keselamatan Naval Group jamin LCS siap sepenuhnya dalam masa ditetapkan

Naval Group jamin LCS siap sepenuhnya dalam masa ditetapkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Pihak Naval Group berjanji untuk memberikan komitmen dalam usaha memastikan projek Kapal Tempur Persisir (Littoral Combat Ship, LCS) siap sepenuhnya dalam masa yang ditetapkan Kerajaan Malaysia.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam kenyataan memaklumkan, kementeriannya dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta pihak komersial sedang melaksanakan pelbagai usaha di Fasa Mobilisasi bagi memastikan projek LCS dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Menurut MINDEF, pihaknya termasuk TLDM dan pihak komersial khususnya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) telah melakukan perbincangan secara bersemuka bagi melancarkan lagi proses rundingan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien.

Jelas MINDEF, antara langkah yang telah dilaksanakan ialah rundingan bersama pihak-pihak berkepentingan di Eropah serta lawatan kerja ke Euronaval di Perancis bagi mengadakan mesyuarat dua hala berkaitan isu perolehan kapal tempur tersebut.

Kementerian Pertahanan menjelaskan, hasil mesyuarat dua hala berkenaan, beberapa perkara penting telah dicapai secara bersama.

“Antaranya ialah persetujuaan pihak Naval Group dan sokong penuh usaha kerajaan bagi meneruskan projek LCS ini,

“Pihak Naval Group telah berjanji untuk memberikan komitmen dalam usaha memastikan kapal LCS siap sepenuhnya dalam masa yang ditetapkan Kerajaan Malaysia,

“Pihak Naval Group juga menyatakan persetujuan untuk meneruskan rundingan dengan pihak BNSSB berhubung harga,” jelas MINDEF.

Tambah kenyataan itu, keputusan ini merupakan perkembangan yang amat signifikan dan positif dalam projek LCS sekaligus berupaya memperkukuhkan lagi usaha semua pihak khususnya di negara ini bagi memastikan projek LCS dapat diteruskan semula dengan sebaik mungkin.

“Perkembangan ini juga selari dengan syor beberapa pihak berkepentingan termasuk Jemaah Menteri, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK),

“Ia juga menunjukkan Fasa Mobilisasi berjalan lancar dan semua pihak berkaitan melaksanakan peranan masing-masing dengan sebaik mungkin,

“Dengan perkembangan ini, dijangkakan semua rundingan akan dapat dimuktamadkan pada penghujung Disember ini.

Mengulas lanjut, MINDEF menjelaskan, pihaknya akan terus memaklumkan perkembangan projek LCS ini kepada pihak umum dari semasa ke semasa.

Awal bulan Oktober lalu, Hishammuddin memaklumkan, pembinaan LCS ini akan disambung semula selepas semua rundingan dan setiap perjanjian dalam fasa mobilisasi dimuktamadkan pada penghujung Disember tahun ini.

Beliau menjelaskan, selepas fasa mobilisasi itu selesai, semua pihak terlibat mempunyai tempoh 14 bulan untuk memastikan kapal siap pembinaan.

Tegasnya, pihak terlibat perlu juga memastikan kapal telah berada di permukaan air sebelum menjalani trial seperti Harbour Acceptance Test dan Sea Acceptance Trial dalam tempoh tersebut.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin berkata, sementara menunggu LCS siap sepenuhnya, TLDM telah memohon perolehan Littoral Mission Ship kumpulan kedua yang dilengkapi persenjataan lebih menyeluruh. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply