KUALA LUMPUR, 6 Okt – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati terdapat pencaggahan kenyataan antara Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dalam laporan audit forensik dalaman mengenai Kapal tempur Persisir (Littoral Combat Ships, LCS).
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, BHIC memaklumkan laporan forensik yang diterima daripada MINDEF berada dalam keadaan beberapa perenggan ‘terpadam’.
Namun semalam ketika prosiding PAC, Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Muez Abdul Aziz menegaskan bahawa kementerian itu tidak pernah menerima laporan berkenaan daripada BHIC sekali gus tidak terlibat dalam pemadaman sebahagian laporan forensik berkenaan.
“Dengan itu, PAC meminta supaya MINDEF mendapat penjelasan daripada BHIC dan mengemukakan ulasan kepada PAC berkenaan dengan apa yang sebenarnya telah berlaku,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.
Selain laporan audit forensik oleh BHIC, Wong berkata PAC turut membangkitkan isu sama dalam laporan audit lain oleh Jawatankuasa Siasatan Khas Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Awam (JKSTUPKK).
Kah Woh memaklumkan, PAC berpandangan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan memadam sebahagian maklumat di dalam laporan tersebut.
“Difahamkan ini dilakukan atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) di mana nama pemegang saham syarikat, pengarah dan bank yang memberi pinjaman dan kemudahan kewangan kepada syarikat, telah disunting,
“Kami tidak berpuas hati dan tidak menerima penjelasan daripada AGC mengenai alasannya berbuat demikian,
“PAC menegaskan laporan itu perlu didedahkan sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam syor dalam laporan Jawatankuasa ini dan kabinet harus memberi arahan sedemikian,” katanya.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut menambah, SPRM memaklumkan telah membuka 5 kertas siasatan LCS di mana yang pertama dibuka pada Februari 2021, 2 pada Januari 2022 di mana satu kes telah didakwa, manakala satu lagi kertas siasatan diserahkan kepada AGC.
“SPRM juga membuka satu setiap kertas siasatan pada Februari dan Ogos, yang masih dalam siasatan,” tambahnya.
Laporan audit oleh JKSTUPKK berhubung projek pembinaan kapal tersebut telah dinyahklasifikasikan pada 22 Ogos 2022.-airtimes.my