Home Pertahanan dan Keselamatan 208 PATI Filipina termasuk 51 kanak-kanak diusir pulang ke negara asal

208 PATI Filipina termasuk 51 kanak-kanak diusir pulang ke negara asal

by Nurulhuda

SANDAKAN, 24 Sept – Seramai 208 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah diusir pulang ke negara asal mereka dalam satu program pengusiran yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, pada Jumaat.

Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI berkenaan merupakan warganegara Filipina berusia 23 bulan hingga 69 tahun.

“Jumlah pecahan mengikut jantina bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah melibatkan 27 orang kanak-kanak lelaki, manakala kanan-kanak perempuan adalah seramai 33 orang yang berumur dari 23 bulan ke bawah sehingga 12 tahun,

“Bagi tahanan dewasa purata umur adalah dari 18 tahun sehingga 69 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” jelasnya dalam kenyataan, malam tadi.

Sharifah menjelaskan, kesemua tahanan diusir sama seperti program sebelum ini iaitu dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.

“Walaubagaimana pun, tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Sandakan sahaja berbanding pengusiran lepas yang melibatkan tahanan dari semua 4 depot di seluruh negeri Sabah,

“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pengusiran keluar dari negara,” ujarnya.

Menurutnya, semua warga asing diingatkan untuk memastikan mereka telah memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” jelas beliau. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?