KEPALA BATAS, 6 Sept – Polis menahan 2 lelaki disyaki tokan dadah dan merampas sejumlah 6.34 kilogram (kg) dadah jenis heroin serta ganja yang dianggarkan RM86,390 dalam 2 serbuang berasingan di sekitar Sungai Dua serta Butterworth, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri melancarkan serbuan itu sebelum memberkas 2 suspek warga tempatan berusia 25 dan 26 tahun.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 14 bungkusan dadah jenis heroin seberat 6.3kg dan dua bungkusan ganja 47.8 gram, dengan anggaran boleh digunakan seramai 31,500 penagih.
“Hasil soal siasat kedua-dua lelaki ini terlibat aktiviti pengedaran dadah sejak Jun lalu untuk pasaran tempatan,
“Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah malah semakan dibuat terhadap kedua-dua tangkapan juga mendapati mereka mempunyai rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Mohd Radzi berkata, selain dadah polis turut merampas sebuah kereta, motosikal dan barang kemas keseluruhan bernilai hampir RM50,000.
Nilai keseluruhan rampasan dadah termasuk barang sitaan berjumlah RM136,140.00
Tambahya, kedua-dua suspek direman 6 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum mati atau pemenjaraan seumur hidup. -airtimes.my