Home Semasa BERSIH lancar petisyen, mohon perkenan Agong tidak ampunkan Najib

BERSIH lancar petisyen, mohon perkenan Agong tidak ampunkan Najib

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melancarkan petisyen atas talian memohon agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak memperkenan pengampunan kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Daulat Tuanku, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian,

“Ampun Tuanku, sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, beliau telah disabitkan bersalah menyeleweng dana awam melalui SRC International dan telah diberikan proses pengadilan yang seadilnya,” kata petisyen itu.

BERSIH 2.0 dalam pastisyen itu juga memaklumkan, rakyat berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara.

“Walaupun mungkin Najib tidak malu dengan perbuatannya, patik-patik sekalian rakyat terpaksa hidup menahan malu kerana negara terpalit sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia,

“Rakyat sepenuh hati memohon limpah perkenan Tuanku untuk mempertimbangkan rayuan patik-patik sekalian agar sebarang permohonan ampun oleh Najib, yang telah memberi malu kepada negara ini,

“Sebagai negara, kita tidak boleh bertoleransi dengan korupsi walau siapapun pelakunya. Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa,

“Ampun Tuanku, bimbinglah patik-patik sekalian agar dapat mengangkat semula kepala dan bangga sebagai rakyat Malaysia yang melawan rasuah dan salah guna kuasa,” ujarnya.

Sehingga berita ini dilaporkan, seramai 29,747 patisyen telah tandatangani di laman web change.org

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply