KUALA LUMPUR, 23 Ogos – – Laporan Audit Forensik Dalaman Boustead Heavy Industries Corporation berkaitan perolehan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) telah dinyahklasifikasi, semalam.
Laporan tersebut telah pun tersedia untuk diakses di portal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Namun begitu, beberapa bahagian laporan audit tersebut dihitamkan (redacted).

Daftar isi kandungan laporan audit dalaman.
Pemerhatian Air Times mendapati, kira-kira 10% laporan tersebut dihitamkan dan Kandungan ‘Section B’ dan ‘Section C’ tidak dimuatkan dalam laporan tersebut.
Melihat Senarai Kandungan, Section B merupakan kandungan tambahan (Annexures) sebanyak 44 muka surat. Section C pula mengandungi Exhibits sebanyak 2681 muka surat.

Sebahagian kandungan audit digelapkan kerana mengandungi maklumat dalaman BHIC.
Perkara ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak sehingga Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.
“Untuk makluman, laporan ini adalah milik BHIC, bukan kerajaan,” katanya.
Hishammuddin memetik kenyataan surat yang dikeluarkan oleh BHIC yang menyatakan laporan audit yang dikeluarkan adalah memberi fokus kepada LCS.
“Laporan ini hanya mengenai audit forensik LCS kerana ia merupakan laporan audit forensik dalaman syarikat dan turut merangkumi maklumat dalaman BHIC yang lain,” kata Menteri Kanan Pertahanan yang memetik surat ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Audit BHIC, Dr Salihin Abang.

Surat daripada pihak BHIC yang menyatakan laporan yang didedahkan adalah tertumpu kepada isu perolehan LCS.
Terdahulu, Hishammuddin mengumumkan dokumen laporan audit dalam BHIC kini boleh diakses di portal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
“Selaras keputusan Jemaah Menteri untuk ‘declassify’ laporan Audit Forensik dalaman BHIC mengenai LCS; Lembaga Pengarah BHIC telah bermesyuarat dan setuju dokumen tersebut dinyahklasifikasikan,” kata Hishammuddin
Berdasarkan sura yang dikeluarkan oleh BHIC, laporan audit forensik tersebut disediakan oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. – airtimes.my