BEIJING, 23 Ogos – Pesawat tanpa pemandu tempur (UCAV) buatan China, Caihong-4 (CH-4) akan diperkenalkan dengan enjin baharu.
Penambahbaikan ini dijangka akan mempertingkatkan mutu keupayaan operasi UCAV ini.
“Sebuah prototaip yang dilengkapi dengan enjin piston baharu telah selesai menjalani ujian penerbangan,
“Ujian ini dilakukan bagi melihat keupayan penerbangan dan pendaratan secara autonomi oleh UCAV tersebut,
“Selain itu, aspek keupayaan beban, siling penerbangan dan jarak penerbangan serta aspek lain turut dinilai dalam siri ujian tersebut,” kata China Aerospace Science and Technology Corp dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kejayaan ujian penerbangan dengan menggunakan enjin baharu ini sekaligus membuktikan UCAV yang ditingkat upaya akan dioperasikan dalam masa terdekat.
“UCAV baharu kelak akan berupaya untuk dioperasikan di kawasan pergunungan dan kawasan kepulauan,
“Selain daripada itu, ia akan memainkan peranan terhadap operasi awam seperti penyiaran isyarat kecemasan, operasi memadam kebakaran serta mengumpul data bagi pihak pengurusan bandar,” kata kenyataan itu.
Difahamkan enjin baharu yang akan digunakan kelak turut membolehkan pesawat ini menggunakan bahan api diesel atau kerosin. Pada ketika ini, CH-4 yang sedia ada menggunakan minyak gasolin.
Malah, penggunaan enjin baharu ini akan menjadikan CH-4 sebagai sebuah UCAV yang ampuh. Ia mampu untuk mengangkat beban persenjataan yang lebih banyak disamping mempertingkatkan lagi parameter operasi pesawat seperti jarak penerbangan dan juga masa penerbangan.
CH-4 Rainbow merupakan salah satu UCAV yang dihasilkan oleh China dan dioperasikan oleh beberapa buah negara di Afrika dan Timur Tengah. Di Asia Tenggara, UCAV ini dioperasikan oleh Myanmar dan Indonesia.
Model terkini CH-4 berupaya untuk beroperasi selama 30 jam dan terbang pada kelajuan 150 ke 180 kilometer sejam. Pesawat ini mampu untuk mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.
Dari segi beban, pesawat ini mampu untuk membawa muatan seberat 350 kilogram dan boleh dilengkapi dengan misil, bom, radar, kamera serta kelengkapan lain.
CH-4 yang ditingkat upaya dijangka akan mula dioperasikan dan dieksport seawal tahun 2023. – airtimes.my