KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Seramai 158 Ketua UMNO Bahagian sebulat suara mendesak kerajaan agar mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dengan kadar segera.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunus berkata, suara itu telah disampaikan oleh Ketua Bahagian yang hadir kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat tergempar hari ini.
“Keputusan yang kita perolehi tadi adalah, bahawa semua Ketua-Ketua Bahagian dari seluruh Malaysia yang hadir kecuali Sabah dan Sarawak mahukan PRU diadakan dengan kadar paling segera,
“Kenapa? Tak payah sebutlah. Ia majoriti, sebulat suara,
“Keputusan ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Setiausaha Agung UMNO, tapi hari ini mengambil keputusan daripada Ketua UMNO Bahagian,” katanya kepada media selepas hadir mesyuarat Ketua Bahagian UMNO di Menara Dato Onn pada Isnin.
Terdahulu, berdasarkan satu jemputan, Presiden dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, meminta semua Ketua Bahagian hadir ke satu pertemuan khas berhubung perkara penting demi masa depan parti.
Mesyuarat dipercayai bermula pada jam 13.30 tengah hari itu dipengerusikan Presiden UMNO.
Jamal turut berkata, kesemua Top 5 hadir pada mesyuarat itu kecuali Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan seorang lagi Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan sebab Ketua Bahagian dipanggil secara mengejut.
“Kami ditaklimatkan dan memberi pandangan serta pendapat mengenai PRU15 yang mungkin diadakan dalam waktu terdekat. Tak diberitahu,
“Tujuan kami dipanggil ini untuk melihat kesiapsiagaan jentera pilihan raya di tiap-tiap bahagian. Dan apakah keperluan daripada rakan-rakan, kami sampaikan kepada pucuk pimpinan untuk memastikan pilihan raya akan diadakan dalam waktu terdekat,
“Mungkin sebulan, seminggu, bila-bila masa,
“Alhamdulillah hasrat kami rakan-rakan daripada 158 bahagian, akhirnya perkara inilah disampaikan kepada pucuk pimpinan dan kami berdialog untuk menyampaikan hasrat kepada pucuk pimpinan supaya jelas apa yang perlu pucuk pimpinan berikan kepada kami dan apa yang perlu dilakukan untuk hadapi pilihan raya,” katanya. -airtimes.my