Home Pertahanan dan Keselamatan Pakatan Harapan kesal layanan UMNO terhadap tentera

Pakatan Harapan kesal layanan UMNO terhadap tentera

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Pakatan Harapan (PH) kesal dengan tindakan kepimpinan UMNO sebelum ini yang disifatkan melayan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara ‘Take it or Leave it’ apabila mereka memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan anggotanya.

PH dalam kenyataan mendakwa, apa yang pemimpin UMNO pentingkan adalah untuk mendapatkan projek bagi kroni mereka dan bukan memenuhi keperluan anggota tentera.

Menurut PH, pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) bahawa Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarah rekabentuk Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) ditukar dari SIGMA yang diperlukan TLDM kepada GOWIND yang dicadangkan oleh pembekal dari Perancis melalui BNS adalah contoh jelas tragedi “take it or leave it” yang berlaku.

“Dengan terdedahnya apa yang berlaku kepada LCS, kami yakin pihak yang paling sedih dengan skandal ini adalah penggunanya iaitu warga TLDM sendiri di samping rakyat negara ini,

“Kami kesal sikap kepimpinan Umno sebelum ini yang melayan tentera secara ‘Take it or Leave it’ apabila mereka memesan kelengkapan ketenteraan tanpa mengambil kira keperluan penggunanya iaitu anggota tentera kita,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikelauarkan oleh Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fazil; Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Tambah kenyataan itu, sekiranya PH diberi semula mandat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, gabungan itu berjanji akan menyambung kembali siasatan yang dihentikan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas PH dijatuhkan.

“Jika rakyat memberikan mandat semula kepada kami dalam pilihan raya umum akan datang, kami akan melaksanakan segala strategi yang dikemukakan melalui Kertas Putih Pertahanan yang telah dibentangkan sebelum ini,

“Kami akan memastikan tentera kita mendapat layanan terbaik dan warganya dibekalkan dengan kelengkapan yang sesuai dan terbaik untuk menjalankan tugas mereka untuk negara,” jelas mereka.

Dalam kenyataan yang sama, PH berkata, dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentang oleh Menteri Pertahanan ketika PH memerintah negara, TLDM mengharapkan mereka mempunyai LCS yang dilengkapi helikopter yang memiliki keupayaan peperangan anti udara, anti permukaan anti kapal selam.

“LCS juga diharapkan dapat menggantikan kapal frigat dan korvet yang telah berusia,” katanya.

Tegasnya, TLDM perlu sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga sepanjang masa untuk mendepani ancaman maritim termasuk dari sudut kelengkapan dan keupayaan aset-asetnya.

“Malaysia adalah sebuah negara maritim yang dikelilingi lautan dan sentiasa terdedah kepada ancaman. Antara bentuk ancaman adalah rompakan di laut, perlanunan, penculikan untuk tebusan, penyeludupan barang terlarang, pencerobohan migran dan kecurian hasil laut oleh pihak nelayan asing,

“Dianggarkan kerajaan rugi hampir RM6 bilion setahun akibat kegiatan perikanan haram dan jenayah lain di domain maritim kita,

“Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) berperanan menjaga keselamatan di kawasan lautan yang merupakan kawasan yang kaya dengan sumber semulajadi dan hidrokarbon yang merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negara,” tambah mereka.

Semalam, Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati, Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak mengutamakan kepentingan dan pandangan pihak TLDM berhubung pengurusan kontrak pembekalan LCS itu.

JKSTUPKK menerusi laporan siasatan yang dinyahklasifikasikan memaklumkan MINDEF lebih cenderung dengan saranan daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS). -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply