SHAH ALAM, 1 Jul – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar mengumumkan pelantikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu.
Beliau berkata, pelantikan Tengku Zafrul adalah bagi menggantikan Datuk Seri Jamal Yunus yang dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.
“Saya kena buat sedikit rombakan dalam BN Selangor, rombakan yang pertama saya lantik bendahari yang baharu iaitu Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Bendahari BN Selangor,
“Saya juga melantik Datuk Seri Jamal Yunus sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor..sebab Jamal ini bab-bab komunikasi dia hebat dan banyak media sosialnya,” katanya dalam ucapan di Majlis Penutup dan Makan Malam Konvensyen BN Selangor, di Pusat Konvensyen Setia Alam, pada Ahad.
Katanya, dengan sedikit rombakan ini akan dijadikan sebagai satu semangat baharu untuk BN Selangor bangkit pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
“Dengan sedikit rombakan ini, sekurang-kurangnya akan memberi semangat baharu kepada BN terus berjuang dan kita akan terus mesti bangkit,
“InsyaAllah..kita akan teruskan perjuangan, pastikan BN berkuasa pada pilihan raya umum akan datang,” katanya. – airtimes.my