Home Pertahanan dan Keselamatan Tingkat upaya SWASLA, perolehan 3 OPV penting untuk cegah pencerobohan nelayan asing

Tingkat upaya SWASLA, perolehan 3 OPV penting untuk cegah pencerobohan nelayan asing

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 25 Jul – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhasrat untuk meningkatkan tahap keupayaan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi membendung pencerobohan bot nelayan asing (BNA) di perairan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, tingkat upaya akan dilakukan pada radar SWASLA yang sedia ada di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan bahagian Barat Sabah.

Selain daripada itu, pihak Maritim Malaysia turut merancang untuk menempatkan radar SWASLA di Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung.

“Pengawasan SWASLA banyak membantu tangkapan BNA dalam negara. Maritim Malaysia bertekad untuk meningkatkan keupayaan SWASLA yang sedia ada,

“Penggunaan radar ini dapat mempertingkatkan tindak balas yang pantas terhadap kehadiran vesel yang dicurigai memasuki perairan negara,” kata Jonathan semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin menyatakan penggunaan radar SWASLA dapat pertingkatkan tindak balas untuk membendung pencerobohan bot nelayan asing yang membolosi perairan negara.

Beliau menambah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mempertingkatkan usaha untuk menjaga perairan negara dengan menambah bilangan aset-aset yang penting.

“Antara usaha yang dilakukan oleh KDN adalah perolehan sistem C4ISR, perolehan sebuah multipurpose mission ship, 4 helikopter medium lift, 30 buah bot RHIB,

“Selain daripada itu, kita melakukan perolehan radar di Abu Bakar Maritime Base di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan radar Remote Sensor Sight and Area Control Center di ESSCOM,” ujar beliau.

Jonathan menyatakan kerajaan turut melaksanakan perolehan jentera utama bagi melaksanakan program repowering kapal kelas Gagah, kelas Ramunia dan kelas Gemia.

Sementara itu, perolehan 3 kapal OPV kelas Tun Fatimah dijangka akan memantapkan lagi tahap pengoperasian Maritim Malaysia dalam menjaga kedaulatan negara.

Perolehan sebanyak 3 buah OPV kelas Tun Fatimah dilaksanakan untuk kegunaan Maritim Malaysia.

Jonathan menegaskan penyerahan 3 buah OPV ini adalah perkara yang amat dinantikan.

“Kita berharap bila ianya telah disiapkan sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan kita akan dapat jaga kawasan persekitaran perairan kita serta mencegah BNA,” ujar beliau.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri II, pengoperasian aset bersaiz besar seperti OPV sebelum ini telah membuktikan keupayaannya dalam melakukan pencegahan dan tangkapan BNA di perairan negara khususnya di Laut China Selatan.

“Pengoperasian KM Pekan dan KM Arau di perairan laut dalam sehingga 200 batu nautika telah dioptimumkan oleh Maritim Malaysia kerana mampu untuk berlayar yang lebih lama,

“Ini terbukti dengan peningkatan jumlah tangkapan BNA yang ada pada 2017 iaitu 148 tangkapan berbanding 108 tahun sebelumnya,” ujar beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply