Home Semasa Himpunan #Turun: Potong keseluruhan gaji menteri – Timbalan Ketua Pemuda AMANAH

Himpunan #Turun: Potong keseluruhan gaji menteri – Timbalan Ketua Pemuda AMANAH

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=4Z7kBK7YGL4[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 25 Jul – Seramai 10 individu, termasuk ahli politik hadir bagi membantu siasatan berhubung himpunan #Turun yang berlangsung di hadapan pusat beli-belah Sogo, Sabtu lalu.

Kesemua individu termasuk aktivis dan mahasiswa tampil untuk dirakam keterangan bermula jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Antara yang dipanggil ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman; Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Abbas Salimmi Che Adzmi dan Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr. Nurul Asyikin Mabahwi.

Difahamkan, Ahli Parlimen PKR Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abdul Aziz (MUDA) akan memberikan keterangan pada Selasa (esok).

Abbas Salimmi ketika ditemui mendesak kerajaan agar gaji menteri dipotong secara keseluruhannya bagi menampung isu kenaikan harga barang yang kini semakin membimbangkan.

“Gaji menteri dipotongkan sebab skala menteri sudah 70 orang. Sebaiknya adalah memotong gaji mereka keseluruhannya,

“Bukan banyak pun, elaun menteri lebih banyak daripada gaji. Kabinet pun kena kecilkan,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Dang Wangi pada Isnin.

Beliau turut menyuarakan agar mahasiswa yang terlibat dalam perhimpunan #Turun tidak dikenakan apa-apa tindakan kerana hanya menyuarakan hak mereka.

“Mahasiswa juga amat terkesan sekali dalam kehidupan ekonomi pada hari ini. Saya minta supaya jangan diambil tindakan pada mereka, kerana mereka inilah pewaris negara kita dan meraka bersuara di atas hak mereka,

“Jadi tak perlulah ambil tindakan pada mereka. Daripada peringkat universiti dan sebagainya kerana mereka menyuarakan hak mereka dan mereka juga berasa terkesan hari ini dengan apa yang terjadi dengan negara kita,” jelasnya.

Antara individu yang hadir untuk dirakam keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.

Sementara itu, Adam Adli turut menjelaskan telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang proses rakaman keterangan berkaitan perhimpunan itu.

Menurutnya, tindakan memprotes bukannya salah di sisi undang-undang dan mereka hanya menyuarakan tentang kebajikan rakyat yang tertekan terutama mahasiswa dengan kenaikan harga barang keperluan yang semakin teruk pada ketika ini.

“Kita bukan suarakan soal-soal kepentingan politik dan peribadi. Kita bersuara tentang soal masyarakat, soal kebajikan dan juga keadaan yang semakin tenat ini,

“Ramai yang terkesan, jadi saya harap kita faham terutama masyarakat di luar kalau ada yang tidak setuju. Kena faham bahawa sebarang bentuk protes sebegini yang pertama ianya adalah hak kita semua sesuai dengan perlembagaan peruntukan di bawah perlembagaan,

“Kedua, ia juga adalah satu kewajipan moral sebenarnya terutama sekali golongan yang dalam lapangan politik, lapangan aktivisme perlu sentiasa bersuara,

“Kalau tidak ada disuarakan maka kita risau tindakan oleh kerajaan itu akan diteruskan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan seharusnya mengambil langkah yang proaktif dan membela serta memelihara kepentingan rakyat biasa yang terkesan akibat keadaan ekonomi pada ketika ini.

ADUN Ketari, Young Syefura Othman menjelaskan, protes jalanan ini tidak akan berhenti sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk rakyat menilai sendiri tindak balas dari kerajaan.

Dalam masa, ADUN Ketari, Young Syefura Othman pula menjelaskan, himpunan pada Sabtu lalu adalah sebagai suara rakyat berkaitan isu kenaikan harga barang.

“Kita juga mahu kerajaan mendengar 5 tuntutan daripada mahasiswa dan aktivis (antaranya ialah memotong gaji Menteri dan Timbalan Menteri, mengawal harga barang, mengekalkan subsidi dan menyelesaikan isu jaminan makanan),” katanya.

Young Syefura berkata, protes jalanan ini tidak akan berhenti sehinggalah Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk rakyat menilai sendiri tindak balas dari kerajaan.

“Kita tidak membuat kekacauan dan sebagainya. Ini adalah salah satu hak rakyat untuk bersuara dan menyatakan kehendak rakyat,

“Jadi terpulang pada rakyat untuk menyertai protes aman ini atau sebaliknya,” tegasnya.

Sabtu lalu, sekitar 100 individu menyertai himpunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman bermula jam 2 petang sebelum mereka cuba berarak ke Dataran Merdeka, namun gagal selepas disekat polis.

Himpunan dipercayai dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa bagi mengulangi 5 tuntutan terhadap kerajaan terutamanya kenaikan harga barang yang disifatkan menekan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply