Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut RIMPAC 2022: KD LEKIR tembak misil pertama di luar perairan Malaysia

RIMPAC 2022: KD LEKIR tembak misil pertama di luar perairan Malaysia

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=JSgEt3vw3sw[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 16 Jul – Kapal Diraja (KD) LEKIR berjaya melancarkan misil EXOCET MM40 tepat ke sasaran di perairan Hawaii, Amerika Syarikat (AS) dalam siri latihan Sinking Exercise (SINKEX) semasa fasa di laut bagi Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2022 pada Selasa lalu.

Kapal jenis korvet kelas kasturi milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu telah mencipta sejarah kerana ia merupakan kali pertama aset TLDM membuat penembakan misil di luar perairan Malaysia.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata, untuk latihan SINKEX ini, sasaran yang digunakan adalah Ex-USS Rodney M Davis, sebuah kapal perang peluru berpandu kelas Oliver Hazard Perry (OHP).

Penembakan KD Lekir ini telah disaksikan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalan Panglima Armada Barat, Laksamana Pertama Farizal Myeor di K. Mark Takai Pacific Warfighting Center di Ford Island, Hawaii.

Reza menjelaskan, RIMPAC menyediakan platform terbaik untuk meningkatkan interoperability di antara angkatan laut yang mengambil bahagian,

“Penyertaan ini merupakan satu pengalaman bagi menambah nilai profesionalisme kru KD LEKIR. Saya pasti warga kapal sudah tidak sabar untuk menyertai edisi RIMPAC yang seterusnya,” jelasnya.

Bagi latihan SINKEX ini, sasaran yang digunakan adalah Ex-USS Rodney M Davis, sebuah kapal perang peluru berpandu kelas Oliver Hazard Perry (OHP).

RIMPAC 2022 yang bermula 29 Jun lalu hingga 4 Ogos depan dilaksanakan di sekitar kepulauan Hawaii dan selatan Calfornia. Ia adalah eksesais ke-28 dalam siri yang bermula pada 1971.

Selepas 2 minggu di pelabuhan, peserta RIMPAC keluar untuk latihan di laut selama 22 hari mulai 11 Julai yang melibatkan 38 kapal, 4 kapal selam dan lebih 170 pesawat milik 26 negara.

Ini kali kedua TLDM menyertai RIMPAC selepas KD LEKIU mengambil bahagian pada 2018. Eksesais maritim antarabangsa terbesar dunia ini menyediakan peluang latihan bersama pelbagai negara di samping mengukuhkan jalinan kerjasama di antara peserta.

Menurut Markas Tentera Laut, pada 22 Mei lalu, KD Lekir juga berjaya melancarkan misil jenis sama pada Eksesais Taming Sari 21/22 di perairan Selat Melaka Utara sebagai persediaan untuk ke RIMPAC Ke-28.

KD Lekir memulakan pelayaran dari Tambatan Pangkalan Lumut (TPL) pada 30 Mei lalu dan dijadual kembali ke tanah air pada 6 September depan selepas selesai menjalani eksesais.

Tempoh keseluruhan pelayaran sepanjang penyertaan eksesais ini adalah selama 99 hari di laut.

RIMPAC merupakan latihan peperangan maritim berskala besar anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat. Eksesais ini akan berlangsung mulai akhir Jun sehingga awal Ogos 2022. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply