Home Semasa KDN atur gerak lebih 200 anggota, aset aktif Op Bantu Baling

KDN atur gerak lebih 200 anggota, aset aktif Op Bantu Baling

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Jul – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengaktifkan Op Bantu Baling serta merta, semalam bagi mengkoordinasi segala bentuk bantuan dan operasi menyelamat mangsa tragedi banjir di Baling, Kedah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Op Bantu Baling itu diketuai oleh Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad dan turut melibatkan jabatan serta agensi di bawah KDN.

Beliau berkata, ia melibatkan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Penjara Malaysia.

“Seramai 164 pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diaturgerak, manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM dihantar ke lokasi bencana termasuk 4 bot, 8 lori dan 3 kenderaan pacuan 4 roda,

“Selain itu, seramai 46 anggota RELA juga dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat dan ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hamzah berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau talian MERS 999.

4 kampung di Mukim Kupang Sedim dan Mukim Bakai di Baling, Kedah dilanda banjir serta fenomena kepala air pada petang Isnin telah mengakibatkan 3 nyawa terkorban.

Selain itu, 3 PPS dibuka bagi menempatkan lebih 1,400 mangsa banjir.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply