KENINGAU, 1 Jul – Pihak polis menahan pemandu jengkaut berusia 60 tahun bagi membantu siasatan kes menghalang dan menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam iaitu anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika melaksanakan kewajipannya, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Polis (DSP) Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 6.32 petang dan siasatan awal mendapati anggota JPJ Cawangan Keningau telah menahan serta membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan berat jenis pengorek kaut (backhoe) yang mencurigakan.
“Pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat kesalahan. Semasa saman hendak dikeluarkan pemandu tidak berpuas hati dan marah, dengan bertindak melanggar kenderaan pasukan JPJ yang dinaiki petugas hingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan tersebut,
“Petugas (JPJ) sempat menyelamatkan diri dan tiada kecederaan terhadap petugas semasa kejadian. Polis menahan pemandu lelaki tempatan itu dan merampas kenderaan ‘backhoe’ tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 186/353 dan 427 Kanun Keseksaan.
Nor Rafidah turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai video kejadian tersebut yang tular di media sosial, yang akan menggangu siasatan pihak polis.
Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan tindakan seorang lelaki melanggar kenderaan pacuan 4 roda milik JPJ hingga terbalik menggunakan jengkaut yang dipandunya.
Rakaman kejadian yang tular di media sosial bagaimanapun memaparkan anggota dan pegawai JPJ yang terbabit terselamat tanpa sebarang kecederaan. -airtimes.my