Home Pertahanan dan Keselamatan Tiada kompromi terhadap PATI gagal pulang selepas pukul 12 malam ini

Tiada kompromi terhadap PATI gagal pulang selepas pukul 12 malam ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan operasi besar-besaran bagi membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mengenakan tindakan tegas sekiranya mereka gagal pulang ke negara asal masing-masing menjelang tengah malam ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak kementerian menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melaksanakan Program Rekalibrasi Pulang dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sebagai satu inisiatif kepada individu berkenaan untuk pulang ke negara asal atau berdaftar secara sah.

Menurutnya, pengumuman Program Rekalibrasi Pulang terhadap PATI dan tenaga kerja asing yang berada di negara ini dilaksanakan pada 16 November 2020.

“Hari ini, 30 Jun 2022 adalah hari terakhir untuk semua PATI serta tenaga kerja asing mendaftar pulang yang mana kebanyakan mereka diberikan kebenaran bekerja semula dan selebihnya memilih untuk pulang ke negara masing-masing.

“Saya nak maklumkan kepada majikan, sesiapa yang mengambil pekerja tanpa dokumen, kita akan melakukan operasi besar- besaran bermula tengah malam ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 282,581 PATI sudah berdaftar untuk pulang secara sukarela sehingga 23 Jun lalu.

Daripada jumlah berkenaan seramai 243,279 PATI telah dihantar pulang ke negara masing-masing.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, KDN akan memastikan hanya mereka yang layak dan mempunyai dokumen, pasport sah dari negara asal masing-masing dibenarkan untuk bekerja. -airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?