Home Pertahanan dan Keselamatan Polis serbu gudang proses minyak terpakai, rampas aset bernilai RM7.3 juta

Polis serbu gudang proses minyak terpakai, rampas aset bernilai RM7.3 juta

by Air Times News Network

PONTIAN, 30 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket memproses minyak terpakai yang beroperasi di sebuah kilang di Kampung Jeram batu, Pekan Nenas, jam 5.30 pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Johor, Senior Asisten Komisioner Jalaludin Hamid berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan unit risikan dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Polis Marin Wilayah 2, Johor serta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Beliau menjelaskan, seramai 5 orang lelaki yang terdiri daripada 2 orang warga tempatan dan 3 warga asing berumur 26 hingga 49 tahun telah ditahan dalam serbuan tersebut.

“Turut dirampas sebanyak 128,000 liter minyak enjin terpakai bersama peralatan lain iaitu tong drum dan tangki-tangki yang digunakan dalam aktiviti terbabit,

“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7.3 juta,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, kes tersebut disiasat dibawah Sek 34(b) dan Sek 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara 5 tahun serta denda tidak melebihi RM500,000.

Tambahnya, kes juga disiasat dibawah Sek 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana membabitkan warga asing yang ditahan.

“Minyak-minyak yang dirampas telah diperolehi daripada bengkel kenderaan dan dibeli pada harga 30 sen per liter,

“Setelah memproses minyak yang dibeli tersebut, sindiket ini akan menjual minyak tersebut dipasaran pada kadar harga RM1.80 per liter,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?