KUALA LUMPUR, 6 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merafak sembah ucapan ‘Dirgahayu Tuanku’ kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau menerusi hantaran di media sosialnya berkata, seluruh Keluarga Malaysia dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada hari ini.
“Patik sekalian juga mendoakan semoga ALLAH SWT terus menganugerahkan Tuanku agar sentiasa dilimpahi hidayah-Nya, juga beroleh ‘Afiah’ dan penuh kedaulatan,” menurut hantaran itu.
Ismail Sabri turut melahirkan harapan semoga Malaysia terus maju di bawah naungan Seri Paduka Baginda.
Dalam hantaran yang sama, Ismail Sabri turut menyifatkan Baginda sebagai Raja yang berjiwa rakyat dalam memayungi Keluarga Malaysia. -airtimes.my