TELUK SEPANGGAR, 27 Mei – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang untuk membina sebanyak 1,036 buah unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKAT) pelbagai kelas yang baharu untuk warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berkhidmat di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).
Markas ATM berkata, RKAT baharu ini terdiri daripada 7 buah blok bangunan yang dilengkapi dengan kemudahan seperti surau, taska dan dewan pelbagai guna.
“Kemudahan lain adalah tempat rekreasi seperti gimnasium, trek jogging, padang futsal dan taman permainan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, pada Jumaat.
Menurutnya, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz telah turun meninjau kawasan bagi cadangan pembinaan RKAT yang baharu pada hari ini.
“Pertambahan warga TLDM di PTKK menyebabkan rumah kediaman anggota menjadi terhad,
“Perkara berkenaan merupakan keutamaan bagi Kementerian Pertahanan dalam memastikan setiap warga TLDM yang berkhidmat di sana mempunyai kediaman yang selesa untuk keluarga mereka,” ujarnya. – airtimes.my