Home Pertahanan dan Keselamatan Cubaan seludup dadah bernilai RM1 juta guna kurier, kargo KLIA gagal

Cubaan seludup dadah bernilai RM1 juta guna kurier, kargo KLIA gagal

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis syabu dari Lembah Klang ke Sabah dan Sarawak, melalui perkhidmatan kurier serta kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam 2 kes berasingan, bulan ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Polis (ACP) Imran Abdul Rahman berkata, dadah jenis syabu seberat 28 kilogram (kg), yang dianggarkan bernilai RM1 juta itu dirampas di kawasan Kompleks Kargo KLIA pada 8 dan 11 Mei lepas.

Beliau berkata, pihaknya telah menemui 3 kg dadah yang disorok dalam satu unit ketuhar gelombang mikro dipercayai untuk dihantar ke Tawau, Sabah pada 8 Mei lalu.

“Manakala pada 11 Mei pula, dadah seberat 25 kg ditemui disorokkan dalam 2 unit alat pembesar suara untuk dihantar ke Tawau dan Kuching, Sarawak,” jelasnya dalam sidang media pada Khamis.

Imran berkata, sindiket yang terlibat dipercayai menghantar dadah yang disorokkan dalam peralatan elektrik dan pengubahsuaian kotak bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan perkhidmatan kurier di sekitar Lembah Klang.

“Kes telah dibuka dibawah Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan juga disebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dihukum dengan hukuman mati,” tambahnya.

Setakat ini, katanya tiada tangkapan dilakukan dan proses siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Imran menjelaskan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah KLIA (BSJN KLIA) dengan kerjasama orang awam telah berjaya mematahkan beberapa cubaan penyeludupan dadah dengan jumlah rampasan keseluruhan sebanyak 56,078 gram yang dianggarkan bernilai RM 2.018 juta di Kargo KLIA.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah yang menjadikan KLIA sebagai laluan untuk menjalankan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply