Home Pertahanan dan Keselamatan Perintah berkurung ESSZONE hanya di perairan 3 batu nautika ke sempadan antarabangsa

Perintah berkurung ESSZONE hanya di perairan 3 batu nautika ke sempadan antarabangsa

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 11 Mei – Polis Sabah menjelaskan, pengisytiharan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang diumumkan baru-baru ini hanya berkuat kuasa di sekitar kawasan perairan 3 batu nautika sehingga ke kawasan sempadan antarabangsa.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya percaya, kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung perintah berkurung itu disebabkan gambar infografik yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, infografik yang tular itu seperti memberi gambaran bahawa semua 10 daerah di kawasan ESSZONE perlu menjalani perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah bermula jam 6 petang sehingga jam 6 pagi.

“Kawasan terlibat dalam perintah berkurung bermula jam 6 petang hingga 6 pagi sehingga 25 Mei ini adalah di kawasan 3 batu nautika dari darat sehingga ke sempadan antarabangsa,

“Daerah yang terbabit dengan perintah berkurung itu ialah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Jauteh berkata, tidak timbul isu semua penduduk di daerah ESSZONE dikenakan perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah mengikut masa ditetapkan seperti dijelaskan dalam kenyataan berkenaan.

Mengulas lanjut, Jauteh mengesahkan pihaknya ada menerima satu laporan polis berkaitan infografik yang ditularkan itu.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan bersama Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan berita yang tidak sahih atau palsu. Kesalahan ini boleh didakwa mengikut kedua-dua seksyen berkenaan,” tambahnya.

Infografik berkaitan pengisytiharan perintah berkurung di kawasan ESSZONE bermula 10 Mei 2022 sehingga 25 Mei 2022 meliputi daerah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Terdahulu, tular di media-media sosial dan aplikasi WhatsApp satu infografik berkaitan pengisytiharan perintah berkurung di kawasan ESSZONE bermula 10 Mei 2022 sehingga 25 Mei 2022 meliputi daerah Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Antara isi kandungna infografik tersebut ialah penggunaan peta kawasan ESSZONE yang meliputi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau sebagai kawasan yang dikenakan perintah berkurung bermula 10 Mei 2022 sehingga 25 Mei 2022. Semua penduduk di kawasan tersebut dikehendaki berada di rumah bermula jam 6 petang sehingga jam 6 pagi.

Turut digunakan di dalam infografik tersebut adalah logo Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply