KUALA LUMPUR, 6 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan mengapa terma penyelesaian membabitkan pampasan antara kerajaan dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dalam kes samannya perlu dirahsiakan.
Dr Mahathir berkata, beliau sebagai defendan dalam kes saman itu dan seluruh rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui selain turut menyatakan rasa terkejut apabila kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah.
“Saya tidak pun dimaklum tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama. Terma penyelesaian juga dirahsiakan,
“Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia dari saya serta rakyat,
“Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pampasan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu turut mengakui terkejut susulan kes saman Apandi Ali terhadap kerajaan Malaysia dan beliau diselesaikan di luar mahkamah.
Tegasnya, beliau selaku saksi utama juga tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian tersebut.
Dalam pada itu, Mahathir menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau merasakan Apandi tidak dapat bertindak bebas sebagai peguam negara berikutan bekas peguam negara itu merupakan peguam UMNO sejak sekian lama.
“Dia tidak mungkin dapat berlaku adil dalam siasatan terhadap 1MDB dan salah laku Najib Razak,
“Malahan dia telah kata bahawa Najib tidak bersalah kerana kononnya tiada kes, sebelum apa-apa tindakan siasatan dibuat,
“Sikap berat sebelah Apandi ini terbukti apabila Najib didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.” tambah kenyataan itu.
Pada Oktober 2020, Apandi memfailkan saman menamakan Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain pengisytiharan penamatan kontraknya sebagai peguam negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu sebagai tidak sah.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Apandi menuntut perisytiharan Mahathir menyalahgunakan kedudukannya dan mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan kerajaan Malaysia.
Apandi juga memohon pengisytiharan wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan pemecatannya sebagai peguam negara adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.
Menurut Mahathir, kerajaan tidak sepatutnya tunduk terhadap tuntutan yang dibuat oleh Apandi selain mempersoalkan mengapa pampasan perlu dibayar jika tindakan kerajaan mengikut undang-undang.
“Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali di waktu mana sekalipun.
“Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi diadili di mahkamah,” ujar Ahli Parlimen Langkawi itu.
Pada 13 April lalu media melaporkan saman yang difailkan Apandi terhadap Mahathir dan kerajaan Malaysia berhubung penamatan kontraknya sebagai peguam negara diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, menurut peguam Apandi, terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.-airtimes.my
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan pendapat tidak bersetuju dengan cara penyelesaian kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa dirinya telah diberhentikan secara salah olehnya.