Home Semasa Agong, Presiden Turki zahir kegembiraan hubungan dua hala terus diperkukuh

Agong, Presiden Turki zahir kegembiraan hubungan dua hala terus diperkukuh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menzahirkan kegembiraan atas hubungan dua hala yang terjalin kukuh antara kedua negara dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi serta perdagangan.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, kegembiraan itu dikongsi selepas Seri Paduka Baginda berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Erdogan, di Istana Negara, semalam.

“Kedua-dua pemimpin turut menzahirkan rasa kegembiraan dengan hubungan dua hala yang terjalin kukuh di antara Malaysia dan Turki dalam pelbagai bidang kerjasama berkepentingan termasuk ekonomi serta perdagangan,

“Seri Paduka juga menyampaikan persetujuan untuk berangkat melakukan Lawatan Negara ke Republik Turki pada suku ketiga tahun ini,” menurut kenyataan Istana Negara.

Perbualan itu yang berlangsung selama 20 minit bermula pada pukul 5 petang turut menyaksikan Seri Paduka dan Erdogan bertukar-tukar menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Seri Paduka bagi pihak Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan kepada isteri Presiden Republik Turki, Emine Erdogan.

Selain itu, Seri Paduka merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Erdogan atas pembukaan Hagia Sophia Grand Mosque di Istanbul, buat pertama kalinya dalam 88 tahun, untuk ibadah solat sunat Tarawih bermula pada 1 April 2022.

“Seri Paduka menyifatkannya sebagai detik bersejarah kepada rakyat beragama Islam di Republik Turki dan juga seluruh dunia,” ujar hantaran itu.

Terdahulu, Agong berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, apabila masing-masing bertukar menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri, termasuk kepada ahli keluarga.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply