KUALA LUMPUR, 3 Mei – Seorang wanita tempatan berumur 47 tahun mengalami kerugian sebanyak RM132,900 apabila ditipu oleh sindiket penipuan Macau Scam pada Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Mahidisham Ishak berkata, mangsa merupakan pekerja di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia di sebuah syarikat swasta telah menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan.
“Mangsa diminta untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti panadol, tahan sakit, ubat batuk dan selesema secara berlebihan di sebuah klinik komuniti,
“Namun mangsa menafikan perkara tersebut dan telah disambungkan panggilannya kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, dalam panggilan tersebut suspek memaklumkan mangsa telah terlibat dalam pengubahan wang haram serta diugut sekiranya tidak mengaku akan dikeluarkan waran tangkap terhadapnya.
“Panik dengan ugutan tersebut, mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak 5 kali ke satu akaun yang sama bermula 22 hingga 26 April 2022 berjumlah RM132,900 dan diminta menunggu untuk keputusan siasatan tersebut,
“Pada 30 April, mangsa menerima panggilan telefon untuk membuat bayaran tambahan dan merasa ditipu, wanita terbabit terus membuat laporan polis,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – airtimes.my