Home Pertahanan dan Keselamatan 11 PATI Myanmar ditahan dalam perjalanan ke Malaysia

11 PATI Myanmar ditahan dalam perjalanan ke Malaysia

by Air Times News Network

SONGKHLA, 25 Apr – Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berjaya ditahan pihak berkuasa Thailand di daerah Sadoa sempadan Thailand-Malaysia.

Menurut laporan Bangkok Post, kesemua PATI tersebut ditahan bersembunyi di kawasan hutan di Kampung Dan Nok ketika mahu memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan, petang Jumaat lalu.

Komander pasukan tentera, Kolonel Thanitpon Hongwilai berkata, sepasukan anggota tentera, polis kawalan sempadan bersama imigresen telah menemui 9 lelaki dan 2 wanita yang sedang bersembunyi di kawasan hutan tersebut.

Hasil soal siasat, mendapati mereka semua adalah PATI dari Myanmar dan dalam keadaan keletihan apabila ditemui pihak berkuasa.

Setelah ditahan, kesemua mereka telah dibawa untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan keputusannya adalah negatif.

Semasa disoal siasat, PATI itu berkata, mereka datang dari Mawlamyine di Myanmar untuk mencari pekerjaan di Malaysia.

Mereka diminta membayar 40,000 baht (RM5,089) setiap seorang dengan memindahkan separuh daripada yuran kepada broker di Myanmar terlebih dahulu.

Jumlah baki bayaran akan dibuat apabila mereka tiba di Malaysia.

Kata PATI itu lagi, mereka telah menyeberangi sempadan melalui lintasan sempadan semula jadi dengan berjalan kaki.

Selepas menyeberangi sempadan, mereka diarah untuk menunggu trak pikap yang akan membawa mereka ke Malaysia.

Kesemua tahanan telah diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

 

 

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply