Home Semasa Malaysia, Brunei bincang isu sempadan darat

Malaysia, Brunei bincang isu sempadan darat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan menerima lawatan Menteri Luar Negeri Kedua Brunei, Datuk Seri Erywan Mohd Yusof yang kini dalam lawatan kerjanya ke negara ini bermula semalam bagi memperhalusi isu persempadanan darat antara Malaysia dan Brunei.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pertemuan itu susulan kerjasama dua hala yang dibincangkan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei pada 14 dan 15 Februari lalu.

Lawatan kerja Erywan adalah sempena penganjuran Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Malaysia-Brunei berkenaan Sempadan Darat.

“Jawatankuasa Bersama ini adalah mekanisme penting dalam hubungan istimewa antara kedua-dua negara,

“Pelaksanaan Mesyuarat Pertama ini mempamerkan komitmen berterusan Malaysia dan Brunei ke arah memuktamadkan persempadanan darat sejak kedua-dua negara menjalinkan kerjasama dalam hal ehwal sempadan darat pada 2012,” katanya.

Selain itu, dalam lawatannya, Erywan juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Jelas Wisma Putra, Brunei menjadi rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan ke-enam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM8.03 bilion pada tahun 2021 iaitu peningkatan ketara sebanyak 70.4 peratus, berbanding 2020.

Tambahnya, lawatan kerja itu akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ditetapkan oleh pihak berkuasa Malaysia.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply