Home Semasa MPN cadang kaji semula penggunaan MySejahtera – Muhyiddin

MPN cadang kaji semula penggunaan MySejahtera – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Apr – Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan agar aplikasi MySejahtera dikaji semula sebagai alat pengesanan kontak rapat berikutan negara kini sudah berada dalam peralihan ke fasa endemik.

Bagaimanapun Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN menyerah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat keputusan yang tepat.

Jelas beliau, ini kerana Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah menjelaskan aplikasi itu masih perlu digunakan sebagai data untuk mengawal penularan COVID-19.

“Itu pandangan ahli majlis dalam perbincangan dan telah dibentangkan. Apa yang kita tahu sejak dulu hingga sekarang aplikasi MySejahtera masih digunakan,

“Dalam penjelasan oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah), beliau berpandangan ia masih perlu dan banyak data itu digunakan untuk kawalan COVID-19 serta ketika ini (kes) dalam keadaan baik dan terkawal,

“Bagi MPN, kita serahkan kepada kebijaksanaan KKM untuk menimbang sama ada MySejatera akan digunakan atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, pada Khamis.

Aplikasi MySejahtera diperkenalkan pada April 2020, antaranya sebagai usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, dengan fungsi membantu pengguna mengenal pasti tahap kesihatan sepanjang penularan wabak itu.

Akhir bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, KKM akan mengkaji keberkesanan penggunaan daftar masuk di aplikasi MySejahtera dalam tempoh sebulan ini sebelum dihentikan prosedur operasi standard (SOP) itu untuk masuk ke mana-mana premis.

Menurutnya, KKM akan meneliti corak pergerakan dan jangkitan COVID-19 dalam waktu itu berikutan pembukaan sempadan negara dan kelonggaran dibenarkan 1 April lalu serta kelonggaran lain. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply