PASIR SALAK, 14 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sepasang suami isteri ketika leka dalam urusan jual beli daun ketum di sebuah rumah di Bendang Sungai Kerang, Jejawi, semalam
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pasangan tersebut masing-masing yang berusia 45 tahun serta berasal dari Kuantan itu ditahan pada jam 2.45 petang bersama 209.8 kilogram (kg) daun ketum yang bernilai RM3,147.
“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Perak Tengah mengesan 2 lelaki dalam keadaan mencurigakan cuba untuk menutup but pacuan 4 roda jenis Isuzu,
“Terdapat seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Barudin berkata, hasil serbuan yang dijalankan turut menahan seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun yang berperanan sebagai penjual.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut telah menemui 28 bungkusan plastik berwarna hitam didalamnya mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum,
“Siasatan awal pihak polis turut mendapati penjual tersebut mendapatkan bekalan daun ketum daripada individu lain yang dikenali sebagai ‘Pak Awang’,” ujarnya.
Jelas beliau, PDRM sedang berusaha bagi mengesan ‘Pak Awang’ yang dipercayai tinggal di kawasan Kampung Sungai Kerang, Teluk Intan.
Menurutnya lagi, hasil ujian air kencing ketiga-tiga yang ditahan didapati negatif dadah, manakala siasatan lanjut mendapati salah seorang daripadanya mempunyai rekod lampau bersabit kes ketum.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya lagi. – airtimes.my