PASIR PUTEH, 12 Apr – Seorang tekong darat bertindak nekad dengan memecut kenderaan yang membawa 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar merentasi 3 daerah bagi mengelak pihak berkuasa.
Bagaimanapun, tindakan suspek gagal, apabila kenderaan yang dipandunya itu terbabas akibat hasil kejar mengejar daripada kereta peronda polis (MPV) Pasir Mas di Ladang Felcra, Kampung Teratak Batu pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, suspek telah dikesan memandu kenderaan jenis Exora warna kelabu di sekitar Jalan Lemal Pasir Mas secara melulur dan berbahaya pada jam 5 pagi,
“Anggota bertugas mengekori dan memberi isyarat supaya memberhentikan kenderaan, namun pemandunya terus memecut di Jalan Salor menuju Kota Bharu,
“Peronda polis terus mengejar Proton Exora terbabit sehingga memasuki Machang, sebelum berjaya memberhentikan kenderaan itu di bahu jalan di kawasan ladang FELCRA Kampung Teratak Batu,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Zaizul berkata, selepas kenderaan itu berhenti pemandu dan semua penumpang melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.
Tegasnya, cubaan menyembunyikan diri tidak bertahan lama apabila polis berjaya mengesan mereka dengan bantuan unit anjing pengesan (K9) antara jam 8 pagi hingga 1 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati selain pemandu yang juga warga tempatan, terdapat 10 PATI warga Myanmar termasuk 2 wanita berusia antara 15 hingga 53 tahun di dalam kenderaan terbabit,
“Hasil ujian air kencing dilakukan mendapati warga tempatan terbabit positif dadah dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959, manakala lelaki tempatan terbabit disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. -airtimes.my