Home Semasa Anti Lompat Parti: Kerajaan, PH setuju pindaan Perkara 10 diperhalusi

Anti Lompat Parti: Kerajaan, PH setuju pindaan Perkara 10 diperhalusi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Apr – Pimpinan utama Pakatan Harapan (PH) telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Parlimen pada Isnin.

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan bersama berkata, perbincangan yang dilakukan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar itu melibatkan beberapa perkara termasuk pembentangan RUU tersebut.

“Hasil perbincangan tersebut adalah pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ia dihadkan kepada RUU berhubung larangan melompat parti sahaja,

“Selain itu, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama 5 tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti,

“Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini juga akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti, dan ditugaskan memperhalusi serta mencadangkan draf pindaan perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ke jemaah menteri dalam masa satu bulan,

“Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung bulan Mei 2022,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

“Pakatan Harapan komited kepada proses untuk memastikan pindaan perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia,” tambah mereka.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply