Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Rakyat Malaysia dipelawa memohon sertai TLDM

Rakyat Malaysia dipelawa memohon sertai TLDM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempelawa warganegara Malaysia, lelaki dan wanita berusia 18 hingga 25 tahun untuk berkhidmat sebagai anggota dalam perkhidmatan tersebut.

TLDM dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan permohonan dibuka secara atas talian melalui imbas kod QR bagi Pengambilan Perajurit Muda (PtM) TLDM siri 224/22 bermula 8 April hingga 20 Mei 2022.

“Syarat kelayakan adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM) terbuka kepada lelaki dan perempuan,

“Manakala lepasan Diploma Kejuruteraan hanya terbuka kepada lelaki sahaja, taraf perkahwinan adalah bujang (tidak pernah berkahwin) dan pemohon mestilah bebas dari sebarang kes jenayah, dadah atau juvana,” katanya.

Pemohon perlu mengimbas kod QR untuk mendaftar maklumat awal

Menurut TLDM, kelayakan akademik pemohon bagi lepasan SPM mestilah mendapat kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan lulus dalam Sejarah.

“Keutamaan kepada pemohon yang memiliki kepujian dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains,” ujarnya.

Manakala bagi lepasan SVM mesti mendapat kepujian dalam Bahasa Melayu dan bagi Diploma Kejuruteraan pula harus mempunyai SPM setaraf dengan kepujian dalam Bahasa Melayu serta lulus dalam Sejarah.

“Pemohon perlu mengemukakan sijil diploma, transkrip dan sijil perakuan akreditasi serta mempunyai diploma yang diiktiraf oleh Malaysian Qualification Agency (MQA),” jelasnya.

Selain itu, calon yang ingin memohon perlu sihat tubuh badan, penglihatan yang baik tanpa kaca mata, kanta lekap dan tidak rabun warna serta pendengaran dalam keadaan baik tanpa sebarang alat bantuan.

Mengulas lanjut, calon yang berjaya melepasi tapisan maklumat awal oleh Sel Pengambilan TLDM akan menerima borang permohonan memasuki perkhidmatan TLDM melalui emel.

“Pemohon perlu melengkapkan maklumat di dalam borang permohonan dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan borang,

“Pemohon yang berjaya atau gagal akan diberitahu melalui emel selepas tapisan pada bulan Julai 2022,” jelasnya lagi.

Pengambilan Perajurit Muda (PtM) TLDM siri 224/22

Tambahnya, tiada permohonan secara walk-in hanya calon yang mendaftar atas talian serta memenuhi syarat yang telah dinyatakan sahaja berpeluang dipilih untuk pemilihan.

“Calon yang hadir tanpa surat tawaran tidak akan dipertimbangkan,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply