Home Semasa Tangisan, sorakan kegembiraan sambut pembukaan semula Tambak Johor dan Linkedua

Tangisan, sorakan kegembiraan sambut pembukaan semula Tambak Johor dan Linkedua

by Bernama

JOHOR BAHRU, 1 Apr – Sebak. Begitulah dapat digambarkan perasaan ramai rakyat Malaysia di sini yang telah dengan sabar menantikan detik pembukaan semula Tambak Johor, yang pernah disifatkan sebagai antara laluan darat tersibuk di dunia, tepat 12 tengah malam tadi.

Dua minit sebelum menjelang detik itu, kelihatan ramai orang berjalan kaki daripada arah Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Singapura menuju ke Malaysia, menyebabkan ramai yang sedang menunggu bersorak kegembiraan.

“Welcome back” dan “selamat kembali ke Malaysia”, antara dilaungkan mereka yang berkumpul di R&F Mall berdekatan dengan Tambak Johor, serta disambut dengan percikan bunga api.

Tambak Johor dan Lebuhraya Linkedua, yang sepi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali ‘bernyawa’ selepas hampir dua tahun, dengan pembukaan sempadan negara bermula hari ini.

Suasana di sekitar Bandaraya Johor Bahru turut meriah, dengan orang ramai berkumpul bagi menunggu ketibaan ahli keluarga mereka dari Singapura, dan ada juga yang hadir hanya untuk merasai detik bersejarah itu.

Tinjauan Bernama mendapati, kenderaan yang keluar dari arah Singapura turut membunyikan hon, selain penumpangnya bersorak kegembiraan.

Mohd Fauzan Hafizi Rosli, 33, yang bekerja sebagai seorang juruteknik di republik itu sejak empat tahun lepas, menitiskan air mata sebaik ditanya mengenai perasaannya dapat kembali ke tanah air.

Pemuda berasal dari Kota Tinggi itu berkata beliau akhirnya dapat melepaskan kerinduan, selepas dua tahun tidak dapat bertemu anak dan isteri.

“Isteri tidak tahu pun saya balik, buat kejutan untuk dia, harap menjadilah kejutan saya ini…sudah lama saya tidak dapat berjumpa keluarga.

“Terima kasih buat kerajaan Malaysia dan Singapura, yang menjayakan pembukaan sempadan ini,” katanya ketika ditemui di CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah di sini.

Mohd Fauzan berkata lebih manis lagi, apabila kepulangan rakyat Malaysia bermula hari ini, adalah ketika umat Islam hampir menyambut bulan ramadan.

“Dah dua tahun beraya di negara orang, rasa sebak ada, terharu pun ada…tidak tahu macam mana hendak berjumpa dengan isteri dan anak,” katanya.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerusi kenyataan bersama memaklumkan, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply