JOHOR BAHRU, 26 Mac – Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, bertitah mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) yang baharu agar kekal fokus dalam melaksanakan janji-janji atau ikhtiar yang telah dibuat dalam kempen pilihan raya mengikut portfolio masing-masing.
Baginda menerusi hantaran di media sosialnya berkata, kesemua EXCO yang baharu ini perlu sentiasa bertanggungjawab, jujur dan amanah dalam melaksanakan tugas mereka demi rakyat serta negeri Johor.
“Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor (EXCO) yang baharu harus ingat bahawa tugas mereka sudah pun bermula dari saat mengangkat sumpah jawatan pada hari ini (26 Mac),
“Jalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tugas anda sudah pun bermula dari saat ini. Kepentingan negeri dan rakyat mesti diutamakan. Bekerjasamalah dengan semua pihak,
“Jangan lupa anda juga adalah wakil rakyat di kawasan masing-masing. Rajin-rajinlah balik dan bertemu mereka, bukan hanya muncul masa kempen atau terlalu selesa di pejabat sahaja. Ini bukan lagi masa ‘berbulan madu’,
“Masa kempen kamu telah berjanji kepada mereka, sekarang inilah masa untuk tunaikan sebaiknya, bekerja dengan penuh dedikasi. Saya akan sentiasa memantau prestasi semua Exco-Exco,” titah Baginda.
Menurut Baginda, sekiranya didapati ada diantara EXCO yang tidak menjalankan tugas dengan sebaiknya, mereka akan digantikan dengan calon lain.
“Semua Exco sudah diberikan portfolio masing-masing. Jalankan tugas anda dengan sebaiknya jika tidak mahu diganti oleh calon lain,” tegas Baginda.
Terdahulu, seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Menghadap, Istana Bukit Serene, pagi tadi.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah adalah Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga ADUN Larkin, Mohd Hairi Mad Shah; Ketua Wanita Bahagian Ledang, Khairin Nisa Ismail (Serom); Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, K. Raven Kumar (Tenggaroh); Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai); Datuk Zahari Sarip (Buloh Kasap); dan Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah).
Turut mengangkat sumpah, Ketua Puteri UMNO Kota Tinggi yang juga ADUN Johor Lama Norliza Noh; Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon (Yong Peng); Lee Ting Han (Paloh) dan Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir).
Pada 15 Mac lepas, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga ADUN Machap telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19.
Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, dengan majoriti 6,543 undi. -airtimes.m